Isnin, 27 Ogos 2018

LAVATORY - Transgression



Aku kenal dengan ex-drummer band ni sekitar tahun 2012 melalui laman social Facebook atas sebab minat muzik yang sama iaitu death metal. Masa tu sebelum EP ni diriliskan, beliau ada email dekat aku dua lagu raw yang terdapat dalam EP tersebut. Bila aku dengar dua lagu tersebut memang aku tidak sabar untuk menantikan EP mereka. Akhirnya EP tersebut rilis dalam format kaset melalui label tempatan Morbid Invasion Rex. Selepas itu, EP tersebut diriliskan dalam bentuk CD melalui label dari US Slaughterhouse Records. Yang pasti dua-dua format aku beli. Lavatory adalah band old school death metal tempatan yang sangat kuat pengaruh Swedish Death Metal. Memang jarang kita dengar kewujudan band death metal tempatan di era millennium. Kualiti rakaman EP “transgression” ni memang berada di tahap yang terbaik. Mengandungi 4 buah lagu dan 1 lagu instrumental. Selepas EP ini diriliskan pada tahun 2012, mereka telah pun meriliskan debut album mereka pada tahun 2014.



Jumaat, 17 Ogos 2018

KREATOR - Endless Pain



Band yang tidak perlu diperkenalkan lagi dan merupakan salah satu pengaruh terbesar bagi irama Thrash Metal dunia. Semestinya mereka adalah gergasi awal Teutonic Thrash Metal yang sealiran dengan Sodom dan Destruction. Album “endless pain” ini adalah album pertama Kreator yang diterbitkan pada sekitar tahun 1985.




Agresif, laju dan primitif adalah cara permainan Kreator pada album pertama ini. Tiada istilah permainan teknikal pada riff-riff gitar mereka, yang ada hanya riff-riff simple dan buas. Produksi rakaman pun memang raw. Betul-betul Thrash Metal barbaric. Zaman tu memang orang berebut untuk mainkan tempo lagu selaju-lajunya.




Lagu permulaan “endless pain” adalah merupakan lagu klasik mereka yang mana vokal digalas oleh drummer mereka, Ventor. Beliau membuktikan bahawa seorang drummer boleh menggalas tugas sebagai vokalis. Posisi vokalis ini dikongsi bersama dengan frontman mereka iaitu Mille Petrozza. Lagu-lagu klasik yang terdapat dalam album ni antaranya “tormentor”, “total death”, “strorm of the beast”, “flag of hate” dan “dying victim”. Semestinya lagu-lagu tersebut sentiasa menjadi lagu-lagu cover bagi band-band ekstrim metal yang baru.




Diluar sana suda beratus-ratus review menceritakan tentang album ni dan semestinya album ini adalah sangat besar pengaruhnya bagi pergerakan awal kemunculan asal usul/akar kepada muzik death metal dan black metal. Yang pasti Kreator tidak akan kembali lagi kepada rilisan seperti macam album ni. Lihatlah Kreator zaman millenium/sekarang yang mana muzik mereka berubah hampir 70%..produksi yang lebih jelas, bersih, riff gitar yang progresif, kurang agresif thrash metalnya dan lebih banyak part melodi pada setiap lagu. 





RUJUKAN BLOG:
1) KREATOR - Past Life Trauma 1985-2000

Selasa, 14 Ogos 2018

BLIND CONFUSED - Non Compos Mentis



Aku kenal band ni pada sekitar tahun 2006 iaitu ketika mereka membuat persembahan live gig. Sejak dari hari itu, aku mengenali semua line-up band ni. Pertama kali tengok dorang perform live mmg cukup teruja dengan persembahan bertenaga dorang. Kaji punya kaji rupanya band ini sudah wujud pada tahun 1994. Mereka adalah merupakan band ekstrim metal generasi pertama yang wujud di negeri Sabah. Band yang berasal dari Lahad Datu ni membawakan muzik death/grind. Sebelum  demo “non compos mentis” ni diriliskan, mereka pernah meriliskan material seperti “burn” (rehearsal demo 1994” dan juga rehearsal 2005. Demo “non compos mentis” diriliskan sekitar tahun 2007 yang mengandungi 8 buah lagu dan 1 lagu cover dari band Rolling Stone “Pain in Black”…memang dahsyat lagu tu kena olah rentak muziknya  jadi grind…hehehehe. Biasa lah kalau band grindcore lagu semua pendek-pendek durasinya. Untuk keseluruhan muzik Blind Confused memang kuat pengaruh old grindcore seperti rilisan awal Napalm Death, Carcasss dan Brutal Truth.

Isnin, 6 Ogos 2018

SUCCUBUS - Sadistic Rites Of Evil



Mula-mula aku kenal vokalis band ni sekitar tahun 2012 iatu ketika aku beli yang cd  band Insanity yang beliau jual dan selepas itu kami kenal rapat sehingga hari ini. Sejak band ini ditubuhkan memang beliau selalu memberikan info kepada aku tentang kewujudan band Succubus termasuklah demo debut “Sadistic Rites of Evil” yang diriliskan pada tahun yang sama iaitu tahun 2012. Bila demo ini diterbitkan, tanpa membuang masa aku terus beli. Demo ini pada mulanya diriliskan dalam bentuk cdr oleh label underground dari Sabah iaitu Derangment Project Production/ Rotten Decay. Selepas itu diriiskan dalam format kaset oleh label Morbid Invasion Rex dan Metalporn Production. Yang pasti semua format rilisan tersebut sudah sold out.


Succubus membawakan konsep muzik old death thrash metal yang kuat pengaruh dari band lagenda seperti Merciless(Sweden), Incubus(US dan Australia), Insanity (US), Sadus (US) dan Invocator(Denmark). Jarang kita lihat kewujudan band-band tempatan yang memainkan irama seperti ini dan yang pasti Succubus merupakan band kegemaran aku. Demo ini mengandungi 3 buah lagu ciptaan sendiri dan 1 lagu cover dari Merciless “the book of lies”. Suara vokalisnya memang kearah growl scream black metal. Riff gitar memang totally thrash dengan tempoh lagu keseluruhannya laju dan lebih buas dari thrash metal. Memang ngam lah dengan gabungan susunan death metal+ thrash metal. Kualiti rakaman demo pun bole tahan.



Khamis, 2 Ogos 2018

SODOM - Persecution Mania



Peminat Thrash Metal di seluruh dunia pasti mengenali Sodom kerana band ini merupakan salah satu band berpengaruh besar bagi irama Thrash Metal terutamanya bagi penggemar Teutonic German Thrash Metal yang sealiran dengan Kreator dan Destruction. Di Malaysia juga sangat kuat juga pengaruh band Sodom ni. Rasanya sudah lebih ratusan review telah dibuat berkenaan dengan album ini. Album Persecutian Mania merupakan album kedua Sodom yang diterbitkan sekitar tahun 1987 dibawah label SPV. Kalau peminat tempatan mereka dah terbiasa dengan kaset keluaran VSP yang pernah berada di pasaran Malaysia pada awal era 90'an.




Kalau nak dibandingkan album “Persecution Mania” dengan album sebelumnya iaitu album debut “obsessed by cruelly” memang sangat berbeza dari segi konsep dan susunan muzik. Album “obsessed by cruelty” lebih kepada thrash metal yang primitif dengan riff2 yang ringkas dan juga konsep lirik yang penuh dengan elemen-elemen kegelapan dan satanik dan boleh dikategorikan sebagai album proto-black metal yang sama auranya dengan album debut Slayer “show no mercy”. Dengan kemunculan album “Persecution Mania”, kualiti rakaman album ditingkatkan dan menjadi lebih baik dari album sebelumnya, riff-riff gitar juga lebih teknikal dan lagu menjadi lebih kemas dan berkualiti begitu juga dengan cara penulisan lirik dengan tema ke arah peperangan.




Rasanya dengan kemunculan gitaris lagenda Frank Godzik Blackfire mempengaruhi keseluruhan imej dan identity Sodom terutamanya dari segi penulisan lagu. Trademark Sodom yang sebenar adalah dengan munculnya album ini. Lagu lagu klasik seperti “nuclear winter”, “persecution mania”, “christ passion”, “conjuration” dan “bombenhagel” sudah semestinya menjadi lagu anthem bagi seluruh peminat Sodom dan thrash metal diseluruh dunia. Yang menariknya dalam album ni ada lagu cover “iron fist”(motorhead) yang seolah-olah menjadi lagu ciptaan sendiri Sodom. Aku sendiri sukakan cover versi Sodom ni. Kalau diikutkan lagu cover ni sentiasa menjadi playlist live Sodom sehingga hari ini. Sedar tak sedar album ni telah berusia lebih 30 tahun dan auranya masih kekal sehingga hari ni. Album thrash metal yang sentiasa menjadi playlist kegemaran aku. Bombenhagel!!!Bombenhagel!!

RUJUKAN BLOG:
SODOM - In The Sign Of Evil / Obsessed By Cruelty